Friday, March 12, 2010

TAHNIAH! KONGSILAH RAHSIA KEJAYAAN MEREKA

RAHSIA 1: Nur Syuhadah antara pelajar cemerlang


KOTA BHARU 11 Mac - ''Terima kasih, terima kasih cikgu," ujar Nur Syuhadah Muhamad, pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) di sini yang muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Nur Syuhadah yang ditemui di sekolahnya hari ini menyatakan rasa syukur di atas kejayaan yang dicapainya itu dan menyifatkan komitmen guru dalam menyampaikan kepakaran masing-masing begitu banyak membantunya.
''Hal ini membolehkan saya membuat persiapan dengan yakin bagi menduduki peperiksaan tersebut. Saya banyak memberi tumpuan semasa di dalam kelas," ujarnya.
Anak kepada pasangan pesara guru dan pesara jururawat itu memperoleh keputusan 10 A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia, Sejarah, Pendidikan Islam dan English for Sience and Technology (EST).
Dia yakin, kemahiran hafaz ayat-ayat al-Quran semasa di sekolah rendah yang diamalkan secara berterusan memudahkannya memahami dan mengingati apa yang diajar oleh guru.
Nur Syuhadah mendapat tawaran ke SMSTMFP semasa di tingkatan empat dan peluang ke sekolah ternama itu tidak disia-siakan dengan tumpuan penuh terhadap pelajaran justeru katanya, tumpuan berkenaan membolehkannya menyertai pelbagai pertandingan akademik peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
''Antaranya, Olympiad Kimia Kebangsaan, ASEAN and Eropah Classroom (Matematik) dan National Science Challenge yang membolehkan saya mendapat sijil dan merit," katanya.
Penyertaan dalam pertandingan itu juga katanya, memberinya perangsang berkesan dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut.
Pelajar itu pernah menerima anugerah dari Sultan Kelantan semasa muncul pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007.

RAHSIA 2: Calon separa buta peroleh kejayaan membanggakan

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Yakin dengan kemampuan diri selain bantuan guru dan rakan berjaya membantu calon separa buta, Nur Najmi Syamila Mohd. Sakari, 18, memperoleh keputusan 8A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini itu berbangga apabila mencapai A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tassawur Islam.
Anak seorang petani itu juga memperoleh A dalam mata pelajaran Perdagangan dan Prinsip Perakaunan manakala A- untuk Ekonomi Asas dan keputusan B+ bagi Matematik dan Bahasa Inggeris.
Nur Najmi Syamila berkata, dia sejak awal menetapkan sasaran untuk mencapai keputusan 8A dalam SPM.
''Saya mengalami masalah untuk belajar dalam kelas jadi saya banyak belajar secara berkumpulan selain mengulangkaji pelajaran secara bersendirian pada waktu malam.
''Saya juga banyak bertanya dengan guru secara bersemuka terutama mata pelajaran Matematik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, dia juga sering memulakan ulang kaji pelajaran dengan berdoa sama ada secara sendirian atau bersama rakan-rakan.
Sementara itu bapa pelajar itu, Mohd. Sakari Muda berkata, dia bersyukur dengan kejayaan cemerlang Nur Najmi Syamilai.

RAHSIA 3 : Tidak ponteng sekolah rahsia capai 13A+


SUNGAI PETANI 11 Mac Anak seorang pengurus syarikat pengiklanan akhbar, Beh Yuan Ye, 17, muncul antara pelajar terbaik Kedah apabila berjaya memperoleh 13A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Yuan Ye dari Taman Widuri di sini membuktikan usaha gigih, konsisten dan fokus mencapai sesuatu matlamat menjadi azimatnya untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Pelajar lelaki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sin Min itu memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia, Biologi, Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina.
Kata Yuan Ye, tumpuan penuh semasa belajar dan tidak sekali-kali ponteng sekolah adalah kunci kejayaan untuk mencapai cemerlang.
"Saya belajar secara fleksibel kerana tiada penetapan waktu atau tempoh tertentu ulang kaji penting. Tetapi yang paling utama adalah jangan ponteng kelas atau sekolah kerana kita akan ketinggalan subjek yang diajar guru pada hari itu," kata Yuan Ye yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu.
Dia ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2009 di Dewan SMJK Sin Min di sini hari ini.
Yuan Yee merupakan salah seorang daripada sembilan pelajar yang menduduki SPM 2009 di negeri ini berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.
Yuan Ye berkata, dia bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan 13A+ tersebut kerana membuktikan segala susah payah dirinya sebelum ini membuahkan hasil.
Katanya, kejayaannya hasil dorongan ayah dan ibu serta guru yang banyak berkorban dan memberi sokongan untuknya berjaya.
"Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan kelak," katanya.


RAHSIA 4 : Anak penoreh, pencuci rambut 10A

JASIN 11 Mac - Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah di sini, membuktikan kesanggupan membantu ibu bapa menoreh getah dan mencuci rambut di salun kecantikan tidak menghalang mereka menempa kejayaan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
S. Murugan, anak seorang penoreh getah, dari Rim dan Tan Li Jian, mempunyai ibu yang bekerja sebagai pencuci rambut di Taman Maju, di sini, masing-masing memperolehi 10A dalam semua mata pelajaran.
Kedua-dua pelajar ini mengorbankan masa senggang mereka semata-mata mahu membantu ibu bapa bagi meringankan beban kewangan keluarga. Tanpa mengenal erti lelah dan sanggup mengorbankan masa rehat pada setiap cuti hujung minggu, Murugan akan berada di ladang getah berhampiran rumahnya untuk membantu bapanya, V. Sellapan, 58, menoreh getah.
Jauh dari sudut hati anak kedua daripada tiga beradik ini, kesusahan hidup yang dialaminya itu telah membakar semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam SPM sekali gus memenuhi harapan bapanya untuk melihat dirinya berjaya memasuki universiti.
''Demi rasa sayang dan cinta terhadap bapa, saya sanggup melakukan apa sahaja malah beliau juga menjadi sumber inspirasi saya selama ini walaupun bapa tidak sekolah tinggi cuma sampai tingkatan tiga sahaja. Saya rasa, saya sudah melakukan sebahagian kecil usaha untuk membahagiakan bapa dan ibu saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Selain itu menurut Murugan, kesanggupannya membantu bapa di ladang getah pada setiap cuti hujung minggu tidak menghalangnya aktif dalam sukan hoki. Menurutnya, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan menjadi pakar mata kerana dia sendiri mengalami gangguan penglihatan pada mata kanannya selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu berusia lapan tahun.
''Walaupun sukar, saya harus lakukan juga kerana saya menyimpan cita-cita untuk mengubah nasib ibu bapa dan keluarga, saya mahu keluarga saya hidup senang apabila dewasa nanti," katanya.

Sementara itu menurut Li Jian, dia merasakan tugas membantu ibu di salun kecantikan merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk keluarga.
''Saya tidak kisah membantu ibu mencuci rambut pelanggan di salun kerana kasihan melihat ibu yang terpaksa membuat kerja dalam tergesa-gesa kerana ramai pelanggan.
''Walaupun terpaksa duduk di salun dan membantu ibu hingga tidak berkesempatan melepak dengan rakan sebaya tetapi saya rasa puas kerana masa digunakan untuk berjasa untuk ibu," katanya.

RAHSIA 5 : Baca Yasin setiap pagi rahsia kejayaan

KEPALA BATAS 11 Mac - Amalan membaca surah Yasin setiap pagi menjadi rahsia kejayaan Muhammad Harith Mohd. Fauzi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad itu berjaya memperoleh 11A iaitu 9A+ dan 2A serta diumumkan pelajar terbaik sekolah tersebut hari ini. Harith, 18, kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Kimia peringkat asas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan bercita-cita menjadi seorang jurutera.
Menurut anak kepada pasangan jurutera dan guru itu, beliau mahu kejayaan yang dicapai dalam SPM menjadi teladan kepada lima adiknya yang lain.
"Tiada sebarang perkara istimewa dalam belajar yang diamalkan tetapi harus pandai membahagikan masa antara pelajaran, bermain dan berhibur. Saya juga sentiasa membuat latihan latih tubi selain perlu menghormati guru yang mengajar di sekolah," katanya yang berasal dari Taman Bertam Indah dekat sini.


RAHSIA 6: Yen Ling sifatkan kejayaan usaha semua pihak

JOHOR BAHRU 11 Mac - Tiada kata yang dapat dizahirkan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Convent, di sini apabila diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri ini.
Bagi Tan Yen Ling, 19, yang mendapat keputusan 14A+, kejayaan yang dikecapinya itu bukan usahanya semata-mata tetapi paduan usaha ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang sering membantu.
Katanya, selain itu, dia juga memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap hari untuk membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.
"Setiap hari saya akan pastikan yang saya belajar sekurang-kurangnya sejam. Semasa di dalam kelas juga, saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya dan selalu bertanya sekiranya tidak faham.
"Saya tiada petua khusus. Bagi saya setiap manusia itu punya peluang untuk berjaya. Namun saya sangat gembira dengan apa yang saya peroleh hari ini," katanya yang ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2009 oleh Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin di sini hari ini.
Anak tunggal yang bercita-cita untuk menjadi doktor saraf suatu hari nanti berkata, dia lebih gemar belajar secara bersendirian daripada belajar secara berkumpulan. Bagaimanapun, dia tidak menolak pelawaan rakan-rakan sekiranya ada yang inginkan dia menyertai kumpulan mereka untuk belajar.

MEREKA TELAH BERJAYA. ANDA PULA BAGAIMANA??? Ingatlah, kejayaan terletak di tangan anda. Anda yang akan menentukannya. Berubahlah dari sekarang bak kata Bill Gates, sekiranya anda mahu berubah selepas orang lain berubah, sebenarnya anda tidak berubah. Jangan ambil masa yang lama untuk berubah....