Wednesday, August 26, 2009

FRASA MENARIK KARANGAN

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi-pewujudan masyarakat madani
-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis
-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

TAJUK KARANGAN SPM 2009

Warisan Bangsa
Soalan contoh:
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.


Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:
Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

Pelaburan
Soalan contoh:
Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.


Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:
Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah banyak memberikan kesan kepada para pengguna di negara kita.

Jelaskan kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

TEKNIK PLOT BK & KT

(a) TEKNIK PLOT

1. Imbas Kembali
BK – Sarjan Jamil Mohd. Shah teringat kembali akan peristiwa kedatangan Tucksai dan Ahmeng ke balai polis. Dia teringat cerita mereka berdua dan pandangan Lans Koperal Jidin Omar akan kebenaran cerita itu. Pada masa yang sama, dia teringat akan isteri dan anak-anaknya di Batu Pahat.


KT- Datuk Johari teringat akan perbuatan kejamnya terhadap isteri pertamanya pada malam perkahwinan mereka ketika Pak Karim membongkar identiti sebenar Hilmi. Hilmi merupakan anak kandung Datuk Johari. Datuk Johari sempat menjalinkan hubungan dengan isterinya walaupun dia tahu bahawa dia akan meninggalkan isterinya itu.

2) Saspens
BK – Peristiwa serangan Rumah Pasung Bukit Kepong oleh 200 orang pengganas komunis pada 23 Februari 1950 menimbulkan saspens dan tanda tanya sama ada pihak komunis berjaya atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk pihak komunis menewaskan 18 orang anggota polis kerana pertempuran ini memakan masa selama 4 jam. Pertanyaan pembaca terjawab apabila anggota polis kita tewas dengan penuh maruah bangsa.

KT – Hilmi telah merosakkan piano Hayati ketika memainkan lagu “Anak Ikan” semasa Hayati sekeluarga tiada di rumah. Akibat kerosakan itu, Hilmi dimarahi oleh Datin Salmah. Situasi tegang ini menimbulkan tanda tanya tentang hukuman yang bakal diterima oleh Hilmi. Akhirnya, gaji Hilmi dipotong oleh Datuk Johari sebagai bayaran ganti rugi.

3) Kejutan
BK – Berita kematian Othman yang disampaikan oleh salah seorang anggota polis kepada keluarga Otman telah menimbulkan kejutan kepada keluarga Otman, terutamanya Limah yang sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka. Akibat tekanan itu, Limah meroyan lalu menjadi gila.

KT – Kematian Hilmi memberi kejutan besar kepada Datuk Johari. Akhirnya, Datuk Johari turut meninggal dunia di rumahnya selepas mendapat panggilan dari hospital untuk memaklumkan berita kematian Hilmi sejurus mereka meninggalkan Hospital KualaLumpur.


(b) UNSUR SASPENS

BK
1. Ketika Othman berasa gelisah apabila mendapati isterinya belum pulang dari membeli-belah di pecan Muar. Pembaca ingin tahu tentang nasib Limah dan rakan-rakannya. Akhirnya, Othman mengetahui semua barang penumpang diambil oleh komunis dan kemudiaannya bas itu dibakar.

2. Ketika Othman dan beberapa orang rakannya meronda di kawasan kampung telah menemui beberapa perkara aneh. Pembaca ingin mengetahui sebab-sebab galah buluh dipancang di beberapa tempat dan sebatang cangkul ditanam. Othman melupakan sahaja kejadian aneh itu tetapi pembaca sudah membayangkan sesuatu kemungkinan buruk akan berlaku.

3. Tucksai dan Ahmeng memperdayakan Sarjan Jamil dengan mengatakan kematian anak Ahmeng yang terjatuh ke dalam perigi. Pembaca berasa saspens akan kemunculan Tucksai dan Ahmeng pada malam itu dan bimbang jika Sarjan Jamil mengikuti rancangan dua lelaki tersebut yang ingin memerangkap dan membunuh Sarjan Jamil.

KT
1. Hilmi tinggal di rumah Datin Salmah dan Datuk Johari yang mementingkan status. Pembaca ingin mengetahui usaha yang bakal dilakukan oleh Datin Salmah untuk menyingkir Hilmi dari rumah tersebut.

2. Hilmi meninggalkan rumah Datuk Johari dengan alasan untuk balik ke kampung selepas tidak tahan akan layanan buruk Datin Salmah telah menimbulkan tanda tanya pembaca akan tindakan Hilmi itu.

3. Ketidakmunculan Hilmi pada malam persembahannya di Dewan Tunku Canselor menimbulkan pertanyaan kepada pembaca tentang keadaan Hilmi yang sebenarnya. Hilmi telah jatuh sakit dan pengsan semasa hendak keluar dari rumah. Pembaca juga tertanya-tanya tentang kesudahan persembahan tersebut dengan ketiadaan Hilmi.



KATA & FRASA MENARIK DALAM KARANGAN

Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa berharap agar pelajar saya sukses dalam peperiksaan, terutamanya dalam aspek penulisan. Dalam kajian yang saya jalankan waima pengalaman sebagai guru, karangan pelajar biasanya sama dari segi isi penting. Sebagai contoh, jikalau ada soalan karangan yang meminta pelajar menulis karangan bertajuk langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, maka berikut ialah isi yang biasanya ditulis:

Langkah mengurangkan kadar kemalangan.

(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas
(b) Sekolah - Pendidikan tentang keselamatan lalu lintas disalurkan sejak kecil
(c) Pemandu - Memeriksa keadaan kenderaan secara berjadual atau berkala
(d) Media massa - Menjalankan kempen keselamatan di jalan raya
(e) Pihak Swasta - memperbaik keadaan lebuh raya dan menaik taraf jalan.

Daripada pengalaman saya juga, apabila menulis karangan yang berkaitan dengan masalah sosial, berikut ialah isi pentingnya.

Langkah Mengurangkan Gejala Sosial
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana
(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil
(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.

Isi penting dan contoh pewacanaan indah dan berkesan


(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana

Petikan isi contoh 1:


Dalam kerancakan penduduk jagatraya menari bersama bayang-bayang pemodenan
, kerajaan diumpamakan jantung sesebuah negara. Kerajaan mestilah mengorak langkah proaktif untuk menguatkuasaan undang-undang juvana. Hal ini berlaku demikian kerana remaja yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang akan mudah tergelincir daripada landasan keimanan. Yang paling menyedihkan kerajaan ialah mereka alpa dan cuai dibawa arus globalisasi. Oleh hal yang demikian, penguatkuasaan undang-undang tersebut haruslah diikuti pelaksanaan yang efektif. Selain itu, inisiatif kerajaan menggubal rang undang-undang juvana juga dikatakan dapat memberi kesedaran kepada remaja bahawa mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika terlibat dalam jenayah dan gejala sosial yang berat. Oleh itu, mereka akan insaf dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.

Petikan isi contoh 2:


(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa sekolah merupakan kilang yang menghasilkan produk modal insan untuk menghadapi pasaran kerja yang mencabar. Oleh sebab itu, guru berperanan penting memastikan produk tersebut benar-benar berkualiti dan dapat memenuhi permintaan dalam kitaran ekonomi yang tidak begitu berpusing ligat. Walau bagaimanapun, guru sekolah seyogianya menjadi mentor dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar untuk mencerminkan diri dan mengenal jati diri yang sebenar. Sebenarnya, sikap nakal dan kebobrokan pelajar yang semakin keruh boleh dijernihkan lagi dengan perhatian dan kawalan disiplin yang ketat di sekolah. Dengan pelakasanaan Program Sekolah Selamat dan Program Mentor Menti di sekolah, anak-anak murid dapat menyelami perasaan dan hati murni yang sentiasa mendambakan mutiara kejayaan daripada pelajar, bukannya catatan imej buruk sekolah dengan gejala sosial.

KESALAHAN EJAAN

Berikut ialah senarai kesalahan ejaan yang biasanya muncul dalam karangan. Kenapa?

1. displin - disiplin
2. Tsunami - tsunami
3. menanangi - menangani
4. menggelakan - mengelakkan
5. berbillion-billion - berbilion-bilion
6. dasyat - dahsyat
7. kerosakkan - kerosakan
8. pertempatan - petempatan
9. sampah-sarap - sampah sarap
10. mengembirakan - menggembirakan
11. menyerdari profession - menyedari profesion
12. perkerjaaan - pekerjaan
13. efisyen - efisien
14. mengalakkan - menggalakkan
15. seringkali - sering kali
16. acapkali - acap kali
17. berjogging - berjoging
18. apartment - apartmen
19. treauma - trauma
20. kementrian - kementerian
21. negative - negatif
22. memperdulikan - mempedulikan
23.mempedayakan - memperdayakan
24. kesimpulanya - kesimpulannya
25. prodaktiviti - produktiviti
26. mengganggap - menganggap
27. pengganguran - pengangguran
28. walaubagaimanapun - walau bagaimanapun
29. bersopan-santun - bersopan santun
30. lalu-lintas - lalu lintas
31. pra-kemerdekaan - prakemerdekaan
32. anti kerajaan - antikerajaan
33. terhantuk baru terngadah - tengadah
34. kasih-sayang - kasih sayang
35. mengembleng - menggembleng
36. anti-merokok - antimerokok
37. keseronokkan - keseronokan
38. kes rompakkan - kes rompakan
39. pengawai polis - pegawai polis
40. saki baki - saki-baki
41. sanak-saudara - sanak saudara
42. yatim-piatu - yatim piatu
43. pekara- perkara
44. pengakutan - pengangkutan
45. menangguh di air keruh - menangguk air keruh
46. rumah-tangga - rumah tangga
47. kecermerlangan - kecemerlangan
48. jalanraya - jalan raya
49. lebuhraya - lebuh raya
50. pasaraya - pasar raya
51. bandaraya - bandar raya
52. dimana - di mana
53. bekeluarga - berkeluarga
54. fail beserta pen - fail berserta pen
55. gambarajah - gambar rajah
56. menyalah gunakan - menyalahgunakan
57. penguatkuasa- penguat kuasa
58. khursus - kursus
59. ketidak stabilan - ketidakstabilan
60. setia usaha - setiausaha
61. urusetia majlis - urus setia majlis
62. mengulangkaji pelajaran - mengulang kaji pelajaran
63. motorbot - motobot
65. bidang akedemik - bidang akademik
66. kebanyakkan - kebanyakan
67. berkerjasama - bekerjasama
68. kadang-kala- kadangkala
69. penyalah gunaan - penyalahgunaan
70. Disamping itu - Di samping itu
71. kerosakkan - kerosakan
72. anti-merokok - antimerokok
73. serious - serius
74. terguris - tergores
75. seringkali - sering kali
76. biadap - biadab
77. television - televisyen
78. penguatkuasa - penguat kuasa
79. barang kali - barangkali80. pasca kemerdekaan – pascakemerdekaan

RAMALAN SPM (NOVEL)

Soalan 4(b): Huraikan teknik plot yang digunakan dalam salah satu novel yang telah anda pelajari.

Jawaban:

Teknik plot penting untuk menyampaikan cerita di samping menarik minat pembaca. Antara teknik plot yang digunakan olch Abdullah Hussain dalam noveInya, Konserto Terakhir termasuklah teknik dialog. Sebagai contohnya, diwujudkannya dialog antara Hilmi dengan Hayati dan dialog antara Hilmi dengan Encik Bakar. Hayati telah memujuk Hilmi supaya makan setelah Hilmi dihukum oleh Datin Salmah. Manakala, Encik Bakar pula telah mengajar Hilmi mengenali not-not muzik.
Teknik pemerian pula digunakan oleh beliau untuk menceritakan sesuatu peristiwa secara langsung. Sebagai contohnya, pengarang menceritakan hal tentang Hayati yang belajar bermain piano dengan gurunya. Selain itu, pengarang telah menggambarkan watak Hilmi pada awal bab.
Teknik suspens terdapat juga dalam novel ini. Sebagai contohnya, Hilmi yang sepatutnya mengadakan persembahan agungnya di Dewan Tunku Canselor tidak hadir pada malam persembahannya, "Hilmi Potpuri" telah menyebabkan keadaan di belakang pentas menjadi kecoh. Kemunculan Hayati sebagai pengganti Himi telah menyebabkan para pembaca tertanya-tanya tentang hal yang akan berlaku kepada Hilmi yang terlantar di hospital.
Kemunculan Hayati secara mengejut dari London pada malam Pertunjukan Orkes Perdana menunjukkan bahawa Abdullah Hussain telah menggunakan teknik kejutan dalam ceritanya. Pembaca terkejut apabila melihat kemunculan Hayati di atas pentas sedangkan mereka menanti persembahan Hilmi.